Saturday, April 6, 2013

Si Colek


COLEK  berlari lagi. Kali ini lebih laju. Nafasnya turun naik. Colek menjerit memanggil ibunya. Ibu Colek yang sedang menyusukan adik Colek terpinga-pinga. “Kenapa?” Soal Ibu Colek sambil mulutnya terkumat kamit mengunyah si kutu yang membuat sarang di kepala adik Colek. “Ada manusia buang anak!” Colek menjerit. “Apa?” Soal ibu Colek lagi. “Ada manusia buang anak…!” Colek mengulang. Kali ini lebih kuat. “Argh, kamu menjerit pada aku? Berdosa tau! Kamu  mahu masuk neraka?” Jerkah Ibu Colek. Ibu  Colek meletakkan adik Colek ke dalam anyaman jerami. Colek hanya menggelengkan kepala. Pendengaran ibu Colek makin parah selepas peristiwa dilanggar raksasa keluli.

Manusia zaman ini memang semua sudah tuli agaknya. Papan tanda yang diletakkan langsung  tidak diberi perhatian.  ‘AWAS! ZON MONYET MELINTAS’ dan ‘40KM/J’  dipacakkan di sepanjang jalan. Manusia memang buta mata. Buta hati. Buta perasaan. Pedal minyak kian kuat ditekan. Baik yang beroda empat atau beroda dua. Sama ligat. Bimbang mungkin dengan hikayat dongeng; monyet menyedut otak manusia yang pekat likat.  Colek memandang ibunya tunak. Pucuk daun cendehom dikunyah laju.

Colek mengimbas berita yang dibawa Cik Hud-Hud. Raksasa keluli dengan muatan yang padat dengan manusia melanggar terbabas dan merempuh rimbunan bambu di jalan besar. Kata Cik Hud-Hud ramai manusia yang terkorban. Kecil, besar, tua dan muda. Entah apa yang dikejar, apa yang mengejar. Amanah yang dibawa bagai tidak berharga. Sudah hilangkah perikemanusiaan dalam diri manusia? Hitam, putih kuning, sawo matang dan kuning langsat hanya warna. Adakah manusia punya takhta untuk membezakan maruah dan kasta? Nyawa mungkin sudah tidak berharga. Atau dunia semakin sempit dengan muatan mungkin?  Colek sebak bila mengingatkan kerabatnya yang terkorban kerana raksasa keluli yang tidak mengenal mangsa. Ironinya raksasa keluli dipandu oleh manusia yang berotak yang pekat likat. Kelmarin, Ibu Mimun dengan adik kecil Mimun yang melekat diperut terkorban kerana dilanggar raksasa keluli hitam berkilat dengan lambang kuda di hadapan. Manusia membuka tingkap dan ketawa berdekah. Seolah terhibur melihat temasya sebuah kematian yang menyiksakan. Memang menjengkelkan! Manusia keparat! ‘Nantikan saja sumpahan monyet tujuh keturunan!’ Itu pembalasan untuk manusia yang alpa untuk menghormati makhluk Tuhan.

Namun bukan semua manusia yang berhati bangsat. Ada juga manusia yang celik nurani, celik minda dan punya hati.  Pisang, betik, kacang dan terkadang durian yang siap dikopek di tinggalkan disepanjang jalan. Menjadi rezeki untuk kerabat Si Colek. Bung Deli pernah berhikayat; kisah Bung Deli menyelamatkan manusia yang terdampar di jalanan selepas raksasa kelulinya menghentam besi pembahagi jalan. Manusia Mabuk kata Bung Deli. Jika bukan kerana Bung Deli, sudah pasti manusia itu leper dilanyak raksasa keluli mega dimalam hari. Ironinya dia adalah manusia yang mengepalai manusia lain dengan raksasa mega untuk merobek dan meranapkan pohon dan rimbun tempat tinggal kerabat Colek. Sejak itu Bung Deli tidak lagi menjadi penyelamat. Sia-sia; bilang Bung Deli.

“Ada manusia buang anak di hulu sungai.” Kali ini Colek bersuara perlahan. “Hmm… ini kali ke tujuh kita jumpa anak manusia yang dibuang.” Ibu Colek mengambil tali jerami yang tergantung diranting. “Ibu nak kemana?” Colek menggaru hujung kukunya. Pedih. Sewaktu berlari tadi Colek tersepak tunggul. Ada darah beku di hujung kukunya. Colek mendesis. Ibu Colek mengunyah daun inai yang tumbuh meliar di belukar kecil kediamannya. Ibu Colek menepek inai yang lumat dikunyah di hujung kuku Colek. Colek mendesis. “Hah! Anak jantan. Kena kuat!” Ibu Colek mula berlari perlahan.
“Ibu nak kemana?” Colek membuntuti dari belakang. “Aku nak ke hulu. Kamu jangan ke mana-mana. Jaga adik kamu.” Ibu Colek menyusup di celahan rimbun senduduk dan menghilang. Colek mengeluh. Colek pantas memanjat pohon dan tersenyum melihat adiknya; Kolek yang sedang leka bermain dengan juntaian tali jerami.
“Oi! Ibu Si Colek, kamu nak kemana?” Bung Deli menegur. Ibu Si Colek tersentak. “Oh, Bung Deli. Aku nak ke hulu. Ada manusia buang anak lagi.” Lemah suara Ibu Si Colek. Bung Deli menggeleng. Setandan pisang disandarkan ke perdu koko. “Hah! Jomlah. Bung Deli mendahului. Ibu Si Colek mengangguk. Belum sepelaung mereka berlalu, Din Jambul muncul dengan sebiji durian di tangan. “Hah! Nak kemana?” Soalnya. “Ada anak manusia di hulu sungai. Din Jambul mengangguk. Tanpa banyak bicara mereka menuju ke hulu sungai.
Si Colek, Ibu Si Colek, Bung Deli, Din Jambul dan beberapa kerabat mengelilingi anak manusia yang dibalut dengan kain berpetak biru. Bebola  mata yang hening, bibir yang kemerahan, ikal rambut yang keperangan menjadikan kerabat Si Colek memandang tanpa berkedip. “Ehem…” Tok Bul berdehem. Kerabat Si Colek memberi ruang untuk Tok Bul yang berusia hampir 80 tahun untuk mampir. Tunggul tongkat Ali bergetar menampung tubuh tuanya. “Hm…hm…hm…” Tok Bul melagakan gusi yang kegatalan. Hanya beberapa batang tunggul yang masih lekat digusinya. “Manusia memang keji… hm… memang keji.” Tok Bul terangguk-angguk.

Colek tergaru-garu. Tok Bul memandangnya. “kenapa?” Soal Tok Bul pendek. “Hm… bisul.” Colek menjawab perlahan. Colek berlindung di balik tubuh ibunya. “Hm… getah pokok kemboja. Ambil getah pokok kemboja, sapu pada bisul. Hm…” Tok Bul terangguk lagi. Ibu Si Colek mengangguk. “Suka merayau.” Tukas Ibu Si Colek. Colek hanya tersengih.

Tok Bul mengelilingi anak manusia yang bulat mata memandangnya. “Dah banyak aku tengok. Hm… aku dah tak ingat ini kali ke berapa. Manusia memang kejam. Taksub dengan kerakusan nafsu. Hm…” Tok Bul terbatuk-batuk. “Manusia memang tidak bertamadun. Kononnya Teori Evolusi Darwin; dari monyet menjadi manusia. Huh! Aku sendiri tidak sanggup menjadi manusia.” Tok Bul menghentakkan tongkatnya ke bumi. Bergegar akar perdu koko. Colek mencicit hilang di sebalik rimbunan pandan hutan.

“Mereka lupa. Tuhan menjadikan mereka dari Tanah. Dari segumpal darah dijadikan segumpal daging dan dijadikan tulang-belulang.” Kepala Tok Bul terangguk-angguk. “Tulang-belulang dibungkus dengan daging dan dijadikan dengan bentuk lalu ditiupkan roh ke dalamnya!” Mata Tok Bul merah seperti saga. Bung Deli dan kerabat Colek yang  lain diam tidak berketik.  “Dasar manusia alpa. Lalai dengan nikmat Tuhan.

“Kesian kamu. Bangsa kamu akan musnah. Ketamadunan kamu lebih hina dari haiwan. Bapak menggauli anak, anak meratah ibu sendiri, datuk seranjang dengan cucu, sumbang mahram, sumbang muhrim! Generasi semacam apa yang akan lahir dari persundalan yang begini?” Tongkat Tok Bul menggegar bumi. Terbang lari ciak rimba, tempua dan serindit yang turut sama mendengar berita yang baru tiba. Setelah rimbunan kembali tenang dan alam tidak bergoncang; si kecil kembali memenuhi dahan. Bercerita tentang perihal manusia yang makin tidak matang dalam mengemudi kehidupan.

“Kalau aku ikutkan hati, kamu akan aku benamkan ke bumi! Bangsamu telah membunuh ramai anak cucuku! Tanpa simpati, keturunanku digelek dan digolek. Bangsamu kejam!” Tok Bul menguis daun kering dengan hujung tongkatnya.
“Benamkan saja Tok Bul! Biar kejahatan berbalas kekejaman. Untuk apa berbudi pada yang tak menghargai.” Bung Deli berpusing-pusing di keliling anak manusia. Rahangnya terbuka luas. Taring panjang kelihatan bersinar. “Sudahlah Bung. Anak itu tidak bersalah.” Ibu Si Colek menghampir. Bung Deli ditenangkan. “Hm… hm… hm… jangan Bung.” Tok Bul melarang. Bung Deli menapak ke pohon mata kucing. Bung Deli merenggut buah yang meranum. Bung Deli memasukkan mata kucing ke dalam mulutnya. Matanya mencerlang memandang Si Colek. Si Colek terkemut-kemut berlindung dirimbunan pandan hutan.

“Bangsa manusia sudah melampau. Tanah tempat tinggal kita juga makin ditarah dan digondol.  Apa mereka fikir kita tidak punya hak dibumi ini? Seolah kita bertuankan mereka. Sedangkan hutan ini hak kita!” Pekikan Din Jambul mengejutkan Tok Bul dan yang lain. “Benamkan saja Tok! Benamkan!” Din Jambul memekik.
 “Apa yang kita nak buat dengan anak manusia ni Tok Bul? Apa seperti juga yang sudah-sudah? Di letakkan di pondok buah di jalan besar?” Ibu Si Colek menghampir dan  menghulurkan sebiji kelapa muda yang siap ditebuk. Tok Bul menyambut dan mengangakan rahangnya. Lemak manis air kelapa membasahi kerongkongnya. Air kelapa menitis di  janggut dan dadanya. “Argh…” Tok Bul mengesat mulutnya. “Hm… hm… hm…” Tok Bul terangguk-angguk. “Itu jalan yang terbaik.” Tok Bul memandang Bung Deli. Bung Deli bagai memahami pandangan Tok Bul.

“Tapi kali ini aku tak mahu jadi balaci lagi! Bagai memendekkan hayatku sendiri. Bahang neraka makin kuat aku rasakan bila aku makin dekat dengan manusia. Biar saja anjing hutan atau helang sewah yang menjadi penunggu.” Bung Deli mencebik. Tok Bul menggelengkan kepala. Ibu Si Colek mengeluh berat. Kecewa dengan omong Bung Deli.

“Er… biar aku yang pergi Tok. Biar aku yang hantar anak manusia ke jalan besar.” Colek menawar diri. Colek menghampir dan mendekati anak manusia. Colek tersenyum memandang ibunya yang mengangguk setuju. Tok Bul terkesima. Bung Deli ketawa berdekah. “Tubuhmu terlalu kecil Colek. Otakmu juga masih terlalu cair. Jangan kau cuba berlagak jantan! Belum masanya!” Sindir Bung Deli. Tok Bul berdehem. Tawa Bung Deli terhenti. Tok Bul menghampiri Colek yang tersenyum memandang Tok Bul. Mata Colek bercahaya. Mata Tok Bul berkaca. “Dalam Surah Al-Baqarah (ayat 195); Berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Kamu dah menyelamatkan satu nyawa Colek. Memang besar pengorbanan kamu. Tok bangga dengan kamu Colek.” Kepala Colek diusap lembut. Colek tersengih. Bung Deli mencebik.

“Dengar semua. Aku benarkan Colek hantar anak manusia ni ke jalan besar. Aku mahu kamu semua contohi Colek. Bukan hanya omong kosong tanpa hasil.” Keras bicara Tok Bul. Din Jambul dan Bung Deli menapak pergi. Tok Bul menghampiri Ibu Si Colek. “Colek berani. Kamu patut bangga punya waris keturunan seperti dia. Kamu jangan lupa sapukan getah pokok kemboja pada bisulnya. Hm… daun ati-ati kamu sapukan pada dadanya. Colek lelah sejak kecil. Bimbang kalau lelahnya kembali bila jauh berjalan.” Ibu Colek mengangguk. Mata ibu Colek dan Tok Bul berkaca.

Wajah Colek cerah berseri. Memang sudah impiannya untuk ke jalan besar. Colek mahu melihat dunia luar. Bukan hanya rimba dan keindahan tempat tinggalnya. Colek mahu lihat jentera keluli yang berbagai warna. Colek hanya mendengar khabar dari Bung Deli tentang angin kota yang menyapa dan singgah di jalan besar. Colek mahu menghantar anak manusia dengan selamat ke pondok buah di jalan besar. Dia mahu jadi wira seperti arwah bapanya. Walaupun bapanya terkorban, namun Colek bangga. Colek tau ibunya juga bangga.

Bila Tok Bul menghilang ke dalam belukar, Bung Deli menghampiri Ibu Colek. “kamu seolah menghantar Colek ke mulut neraka. Colek masih kecil. Perjalanan nya masih jauh. Apa kamu tak sayang anak kamu? Benamkan saja anak manusia jahanam itu! Kamu mau anak kamu menurut jejak mantan suami kamu? Kamu mau anak kamu juga mati?” keras bentakan Bung Deli. Lama Ibu Si Colek mendiamkan diri. “Benamkan saja anak manusia itu!” Bung Deli mengulang. Desah nafas Bung Deli menaikkan roma Ibu Colek. Ibu Colek menjauh. Bung Deli berdehem. “Aku sayangkan Colek macam anak aku sendiri. Jangan kau hantar anak kau ke mulut neraka!” Bung Deli memberi amaran sebelum berlalu.

“Kenapa ibu?”  Colek menghampir. Ibu Si Colek tersenyum. “Tak ada apa-apa. Aku nak mencari daun ati-ati dengan getah kemboja. Kamu jaga adik kamu dan anak manusia.” Aku dah perahkan susu ke dalam daun keladi. Kamu beri separuh pada adik kamu dan separuh lagi pada anak manusia. Ibu Si Colek tersenyum dan menghilang dari pandangan Si Colek. Si Colek tersenyum menanti fajar esok menunjuk diri.

EMBUN di hujung daun menitis membasahi tubuh Colek. Anak manusia mengeliat di kantung (kain berpetak biru diikat di leher Colek) Perjalanan Colek bagai dirahmati. Cuaca nyaman dan kicau burung memberikan petunjuk untuk Colek meneruskan tugasnya. “Kamu mau kemana Colek?” Cik But-But  keluar dari sarangnya apabila terlihat kelibat Colek. “Aku mau menghantar anak manusia ini kembali pada sukunya.” Colek tersenyum. Cik But-But kehairanan. “Untuk apa Colek? Bukankah bangsa ini yang melenyapkan kaum mu? Tinggalkan saja di sini. Biar aku uruskan.” Cik But-But mengembangkan kepaknya. “Aku ingin dengarkan kamu Sabda Rasulullah; Adalah suatu khianat yang besar apabila engkau berbicara kepada saudaramu sesuatu perkara yang mana dia penuh percaya kepadamu, sedangkan engkau berdusta kepadanya.  Aku telah berjanji dengan Tok Bul dan Ibu malah dengan diriku sendiri yang aku akan menghantar anak manusia ini dengan selamat.” Colek meneruskan perjalanannya. Cik But-But terdiam dan menghilang ke sarangnya.

Sesuatu yang menyamai deruman kian hinggap di pendengaran Colek. Colek terpinga-pinga. Terik mentari memeritkan kulitnya. Tidak nyaman seperti di hutan. Colek melindungi anak manusia dengan tangan kecilnya. Anak manusia mula merengek kecil. Lapar mungkin. Colek mengangakan rahangnya. Titis-titis susu masuk ke dalam mulut anak manusia. Colek memandang bening mata anak manusia yang seolah ingin mengucapkan sesuatu padanya.

“Aku akan pulangkan kamu pada sukumu. Aku harap ada yang sudi menerima kamu.” Colek meneruskan langkahnya. Colek perlu menyeberangi laluan untuk ke gerai buah. Colek ingat pesan Tok Bul. Menyeberang hanya bila tiada raksasa keluli. Mata Colek bercahaya memandang alam. Colek menyeberang dan menuju ke gerai buah. Berhati-hati Colek meletakkan anak kecil ke atas pangkin kayu. Colek memandang anak manusia. Colek tersenyum. Colek bersembunyi di bawah pangkin.
Colek terdengar deruman yang menghampiri pangkin tempat persembunyiannya. Ada butir bicara dari dua intonasi yang tidak difahaminya. Colek hanya mendiamkan diri. Deruman kemudian menjauh. Colek keluar dari persembunyiannya. Colek mengintai di atas pangkin. Anak manusia telah tiada. Ada satu perasaan aneh yang menyelinap di sanubari Colek. Panas dan membasahi pipinya. Ada semacam kehilangan dijiwanya. Colek turun dari pangkin. Dia memandang pangkin untuk kali terakhir.  Colek berlari dan berlari. Colek lupa pesan Tok Bul; melintas bila tiada raksasa keluli. Pandangan Colek berpinar. Cecair hangat membasahi kepala Colek. Colek sukar untuk bernafas. Colek meraba dadanya. Masih ada hampas daun ati-ati yang dilumur ibu ke dadanya. Semua itu tidak dapat membantu. Nafas Colek akan terhenti beberapa waktu lagi. Colek tersenyum. Bapa menghulur jemari pada Colek. Colek menyambut dan terbang bersama bapa. Colek ketawa keriangan. Darah dan otak Colek berterabur di jalan. Lambang gugurnya seorang lagi wira; generasi Tok Bul.


No comments:

Post a Comment