Sunday, April 7, 2013

Mencari Cahaya


SALLEH berkalih baring lagi. Serba tidak kena dia. Dengung nyamuk yang membingit menambah resah dadanya. Pipinya terasa pedih akibat digaru. Namun tidak sepedih penampar kidal abahnya petang tadi. Mengingatkan itu hatinya berdetak hebat. Ada senyum sinis yang terukir di bibir hitamnya. Akibat candu yang  bertahun menjadi sahabat sejatinya. Mungkin saja paru-parunya kini bersarang dengan pelbagai jenis sawang penyakit. Ah! persetankan itu semua. Bentak hatinya.

Figura dan roman abah kian memenuhi birai mata Salleh. Bayangan wajah tua itu membuat hatinya kian tertusuk luka. Salleh lupa dengan firman Allah: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (Surah al-Isra, ayat 23).

Malam itu dia membulat nekad. Esok pagi-pagi dia mesti tinggalkan rumah usang ini. Rumah yang memusnahkan impian dan harapannya. Biarlah apa yang akan dihadapinya esok. Dia nekad. Malam itu Salleh memejamkan mata dengan harapan dan impian baru. Kota metropolitan bagai melambai memanggilnya. Dia lena bermimpikan keindahan dan keseronokan bermandi cahaya kota.
“Aku kata jangan pergi, jangan pergi!” Keras suara Pak  Long Baki mengherdik anak tunggalnya. Wajahnya merona kemerahan. Geram benar dia dengan sikap anak yang terlalu biadap. Matanya melirik pada bagasi besar yang disandarkan Salleh di muka pintu. Tiba-tiba hatinya digayut kesayuan. Sedikit resah tiba-tiba mencanak datang mengetuk pintu perasaannya.

“Cukuplah abah, tolonglah jangan buat Aleh hilang sabar. Aleh minta dengan cara baik. Aleh dah besar. Aleh bukan budak-budak lagi abah.” Salleh merayu.
Long Baki hanya memandang wajah anak bongsunya. Bukan dia tidak sayang pada anak lelakinya yang seorang ini, tetapi didikan masa lalunya menghalang dia dari menjadi seorang bapa yang penyayang dan lemah lembut. Kerana sikapnya inilah dia kehilangan anak perempuan sulungnya. Bapa mana yang tidak marah bila anak yang disanjung-sanjung menconteng arang ke muka sendiri? Bergolok bergadai dia menghantar anak gadisnya  belajar tinggi-tinggi, alih-alih bukan hanya ijazah saja yang dibawa pulang malah seorang suami juga. Pula berbangsa asing. Berbangsa penjajah. Apa sudah kurangkah lelaki berbangsa melayu yang ada?

“Pergilah… aku sudah tidak mampu hendak halang kau lagi. Kau sudah besar, tidak perlukan orang tua macam aku dalam hidup kau. Tangan aku pun sudah tidak terdaya hendak memukul kau lagi. Bukan hanya badan kau yang sakit, tapi hati aku yang bagai dicarik-carik. Kau tidak akan pernah faham.  Pergilah….” Lemah suara Long Baki.
“Aku mahu kamu ingat, dunia hanya pinjaman. Jangan kerana mengejar duniawi, kamu lupa pada alam sebenar yang menunggu kamu. Negara kita perlukan anak muda yang berwawasan. Anak muda sehebat Rasulullah. Akhlak Baginda yang terpuji, sentiasa beristiqamah. Kamu ingat Aleh, di akhirat nanti tidak seorang pun dibenarkan bergerak melainkan disoal tentang empat perkara; Umurnya: bagaimana dia menghabiskannya, Ilmunya: bagaimana dia menggunakannya, Hartanya: bagaimana dia memperolehi dan membelanjakannya, Tubuhnya: bagaimana dia menggunakannya.

Langkah Salleh terhenti apabila dentingan jam dari menara yang berdekatan mengejutkan lamunannya. Dia mengira dentingan jam; Lima kali. Bererti waktu sekarang jam lima petang. Dia melirik jam di tangannya. Tepat. Dia meneliti menara condong yang menyerupai menara condong Pisa di Itali. Lokasinya di tengah bandaraya Teluk Intan sesuai sebagai daya tarikan pelancong. Kata abah, menara condong Teluk Intan sama dengan Menara Pisa, condongnya ke kiri. Puas Salleh memerhati, dia masih belum nampak kecondongannya.

Sewaktu kecil dulu, abah pernah membawa Salleh melawat ke dalam menara. Jika di perhati dari luar, memang kelihatan seperti lapan aras. Namun, bila melangkah masuk, hanya kira-kira setinggi tiga aras sahaja. Memang agak  menghairankan. Ketinggian menara condong adalah setinggi 25.5 meter. Dia perlu mengingati fakta itu kerana sesekali abah akan bertanya. Sebagai seorang askar pencen yang cintakan sejarah, abah mahu anak-anaknya mendalami sejarah bangsa. Lekat di ingatannya mengenai sejarah menara condong yang terbina sejak tahun 1885 oleh Leong Choon Chong; seorang kontraktor berbangsa Cina. Pada awalnya, menara ini digunakan sebagai tangki air untuk kegunaan masyarakat setempat. Kini fungsinya berubah menjadi mercu tanda bandaraya Teluk Intan. Salleh berdiri tegak memerhati menara condong yang tersergam. Masih terngiang suara abah; ‘Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya, telah melakukan satu kesalahan lagi’.

Abah memang gemar membaca. Seingatnya patah kata tersebut adalah dari tulisan Confucius.
Terang neon dan hingar kota menjadi lagu dan belaian tidurnya. Sudah lebih setahun Salleh di Kuala Lumpur. Tetapi masih belum ada yang bernama  kejayaan di dalam hidupnya. Makan pakainya makin tidak terurus. Hendak diharapkan kawan, mereka sendiri hanya cukup pakai. Hatinya panas membara apabila terkenangkan gaya dan lagak mereka bila pulang ke kampung. Mengalahkan artis. Sedangkan di sini, hidup mereka tidak tentu arah.

Tikar sembahyang juga telah lama tidak disentuhnya. Sudah terlalu jauh dia dibawa angan yang hanya memakan dirinya sendiri. Dia lupa yang dia hanya insan yang serba kekurangan,serba kedaifan. Air matanya turun membasahi pipi cengkungnya. Apa khabar abah agaknya. Sejak pergi dulu, dia langsung tidak pernah melayang khabar untuk abah. Pulang untuk menjenguk jauh sekali. Kini penyesalan membukit di dalam hatinya. Bagaimana mungkin untuk dia pulang. Belanja poketnya juga telah terlalu lama kontang. Salleh mengakui kata-kata Albert Einstein; Agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Dia hidup dalam kegelapan kerana jauh dari kasih sayang Allah. Jauh sekali dengan restu lelaki bergelar ‘abah’.

Untuk mengisi masa dan buat mencari wang saku, Dia mencuba nasib sebagai pelukis potret di jalanan. Sesekali ada juga yang berminat. Hasilnya juga agak lumayan. Namun itu hanya jika nasib menyebelahinya. Jika tidak, seharian dia akan melangut di pinggiran jalan menanti yang sudi dipotretkan wajah mereka. Jarang ada yang berminat. Kerana mereka lebih gemarkan potret berwarna. Sedangkan dia hanya menggunakan lakaran pensel. Tidak mampu dia untuk membeli cat warna yang agak mahal harganya.

Hampir sepetang Salleh di jalanan. Menanti rezeki dari mereka yang mahu dipotretkan. Salleh meraba beg lusuh yang tersangkut di papan lukisnya. Botol berisi air kosong diteguk rakus. Masih belum mampu menghilangkan keroncong yang sejak tadi minta diisi. Salleh tersentak bila dikejutkan dengan tamparan kuat di bahu kirinya. Lelaki gelandangan di hadapannya dipandang lama; Kurus dan tidak terurus. Berambut kerinting mencecah bahu, tidak bersepatu, giginya yang berlendir kekuningan, sambil menggendong bundut lusuh kehitaman.
“Buat apa kamu buang masa kat sini?” Dia bertinggung di sisi Salleh sambil tersengih. Salleh tidak mengendahkan.

“Kau ingat aku gila ya?” Lelaki gelandangan bersuara spontan sambil mencuit lutut Salleh. Salleh mendengus kasar.
“Kau kenal siapa Muhammad s.a.w…? Kau tau betapa besarnya pengorbanan baginda? Perjuangan, cintanya Baginda kepada Islam, Kasih Baginda kepada umatnya, Taat Baginda kepada Tuhannya. Bagaimana Baginda mampu membina empayar dan tamadun yang hebat.”
“Namun di akhir hidupnya, Baginda tetap menyebut ‘umatku, umatku, umatku. Tapi apa yang kau sebagai umat dia lakukan? Ada kau berselawat ke atas Baginda? Ada kau buat semua sunahnya?”  Lelaki gelandangan membuka bundut lusuhnya. Sebuah buku yang menyerupai diari dikeluarkan. Dia menyelak satu persatu dan mengangguk sambil tersenyum. Salleh hanya memerhati.

“Kamu tahu bagaimana Malaysia terbentuk? Kamu tahu kenapa kita semua sekarang beragama Islam? Kamu tahu sejarah kedatangan Islam ke Negara kita?” Lelaki gelandangan bersila kemas. Salleh hanya membiarkan.

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”(Surah Al-Anbia’, ayat 107)
“Kamu tau Nusantara itu melayu?” Kamu tau apa itu Tamadun? Catatan Marco Polo dan Ibnu Batutah pada 13M dan 14M menjadi rujukan pengkaji sejarah. Kamu tau apa itu sejarah?” Lelaki gelandangan membentak lantang.

“Jangan buat kacau bang. Saya duduk sini nak cari rezeki.” Salleh bangun dan sedikit berganjak dari tempat asalnya.

“Aku bukan datang untuk buat kacau. Aku datang untuk mengingatkan. Kamu sudah jauh terpesong dari jalan Allah. Kamu lupa apa tugas kamu sebagai khalifah di bumi Tuhan.” Lelaki gelandangan masih terangguk-angguk sambil menyelak ‘kitabnya’.

“Mempersaudarakan Ansar dan Muhajirin, Jihad dari Mekah ke Madinah, memperluaskan empayar Islam, menegakkan syiar dan kebenaran Tauhid, ekonomi, politik, perdagangan, pendidikan, perundangan, semua ini dilakukan Baginda berteraskan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.”

“Tidakkah kamu mahu mengambil sedikit dari keihklasan dan kehebatan Rasulullah bagi mengubah nasib kamu?”
Maksudnya: “ Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” ( Al-Baqarah: 190 )

“Kamu solat? Kamu tahu kenapa kita perlu solat?”
“kamu ada telefon? Kalau nombor yang kamu dail tak cukup, boleh ke kamu bercakap dengan orang yang kamu nak hubungi?”
“Kamu tahu berapa nombor telefon untuk hubungi Allah? 2 4 4 3 4. Kamu tahu apa tu? Solat subuh dua rakaat, solat zohor empat rakaat, solat asar empat rakaat, solat maghrib tiga rakaat, dan solat isya’ empat rakaat.”
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib umat atau sesuatu kaum itu melainkan dia mengubah nasibnya sendiri.”
“Islam tidak pernah menolak pendapat atau pandangan dari bangsa dan agama yang lain. Untuk kemajuan Negara dan pembangunan Ummah, Islam sentiasa bersikap terbuka. Selagi ianya berlandaskan syara’ dan Al-Quran.

Petang itu, selepas solat asar (setelah sekian lama dahinya tidak menyentuh sejadah)  dia merehatkan diri di bilik nya: jika boleh di panggil bilik kerana hanya papan kadbod yang memisahkan ruang yang ada.  Otaknya ligat berputar memikirkan nasib hidup. Selama mana dia mampu untuk menjadi pengemis jalanan bagi mencari sesuap nasi. Hujan masih lebat di luar. Kerana itu dia tidak dapat keluar untuk mencari rezeki hari ini.

Pandangannya di arahkan pada beg sandang lusuh yang mengandungi perkakas melukisnya. Lunyai dan lesu. Seperti itulah dia. Tidak bermaya. Mungkin juga kerana seharian ini dia masih belum menjamah walau sebutir nasi. Ingatannya membubar mencari wajah tua yang ditemuinya petang kelmarin. Hatinya tersentuh melihat kedaifan lalu mengeluarkan not 5 ringgit dari koceknya tanpa memikirkan nasibnya sendiri yang masih belum pasti. Salleh tersenyum. Abah pasti bangga. Mata Salleh terpaku memandang cebisan buku agama yang tertulis; Berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Surah Al-Baqarah (ayat 195)
Dia bangun menghidupkan api gas dan memasak air. Maggi kering masih ada sebungkus lagi. Cukuplah buat menjadi alas perut  hari ini. Tangannya ligat mengambil gelas dan diisikan kopi dan sedikit gula. Petang-petang begini, mengingatkan dia pada abah.  Jika di kampung, pasti saja dia sedang bersila kemas sambil menikmati nescafe tarik dan cucur bawang. Kecur liurnya. Abah memang pandai memasak. Nasi goreng kampung abah hingga kini dirinduinya. Pedas dan menyelerakan. Kerana itu badannya agak sasa dulu. Tidak seperti sekarang; tinggal sekeping. Jeritan dari cerek air mengejutkan lamunannya.

Sambil menunggu Maggi kembang dan lembut, Salleh menghirup perlahan kopi yang berasap tipis. Ketukan bertalu di pintu menyebabkan dia hampir menumpahkan gelas kopinya. Dia menyumpah di dalam hati. Siapalah yang menganggu petang-petang begini. Sudahlah hujan. Hatinya berkira sendiri. Mungkin saja Junaidi atau Moin yang pulang. Tetapi jarang sekali mereka pulang pada waktu begini.Selalunya bila embun jantan dah mula menitis, baru akan kelihatan wajah mereka. Bila ditanya,cari rezeki lebih kata mereka. Tapi mengapa sering saja mereka tidak berduit? Salleh hanya mendesah kasar. Salleh bangun dan membuka pintu (jika boleh digelar sebegitu kerana hanya lapisan zink yang diikat menjadi penutup dinding). Dua orang lelaki sederhana tinggi, dan berkepala botak menghulurkan dua keping not seratus ringgit padanya. Dia yang kebingungan hanya menyambut tanpa berkata walau sepatah. Mereka berlalu tanpa mengucapkan sepatah kata kepada Salleh yang masih berdiri di muka pintu. Patah katanya juga tidak terucap. Seolah tersekat di rongga kerongkongnya.

Inikah yang dikatakan rezeki? Allah memberikan jalan walau dia telah lama berpaling. Apakah doanya dalam solat tadi diterima Allah? Selangkah kita mendekati Allah, semakin Allah mendekati kita: Itu kata-kata abah. Patut saja abah memintanya mengamalkan ayat seribu Dinar: Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikanNya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang  dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tia-tiap sesuatu. (Al-Thalaq:2-3) Salleh mengangkat tangan mengucapkan syukur kepada Allah.  

Suasana di pasar Chow Kit agak lengang. Mungkin kerana hujan renyai. Atau mungkin juga kerana masih awal. Salleh berhenti di gerai menjual pakaian ‘bundle’ .Dia memilih sehelai baju kemeja biru muda berlengan panjang yang masih baik keadaannya. Kolarnya juga masih terasa keras berkanji. Seluar panjang hitam berkain ‘cotton’  menjadi pilihannya buat dipadankan dengan baju birunya. RM 15.00  untuk sepasang pakaian yang masih baik keadaannya. Langkahnya terhenti di hadapan gerai menjual nasi ayam. Haruman  bersama ayam bakar menggamitnya untuk berhenti. Masih cukup jika dia mahu membeli sebungkus nasi ayam. Salleh meneguk liur. Seakan sudah lama dia tidak mencicip keenakan makanan yang sebenar.

Suasana sunyi. Hanya sesekali denting kelkatu melanggar mentol kedengaran. Mata Salleh terarah pada baju kemeja biru laut dan seluar hitam yang diseterika rapi: dengan upah dua ringgit dia berjaya memujuk anak jirannya untuk menggosok pakaiannya. Pasti dia akan kelihatan segak jika mengenakannya nanti. Seingat dia, selepas tamat sekolah, tidak pernah dia berpakaian kemas. Mungkin benar juga kata abah, pakaiannya selama ini hanya menyakitkan mata yang memandang. Abah… kenapa selalu saja menjadi sebab untuk dia rasa kesal dan keliru. ‘Islam itu indah, Islam itu bersih. Kenapa kamu hendak mengagungkan budaya barat yang tidak bermoral? Apa yang kamu faham tentang tamadun? Tentang perjuangan memerdekakan Negara?’ Tegas suara abah masih terngiang di telinganya.

“Apa yang kau buat dengan duit RM10,000 itu Moin?”  Salleh bersuara apabila dia melihat Moin dan Junaidi hanya mendiamkan diri.
“Kami ingat nak berniaga kecil-kecilan. Tapi kau tahulah, bila duit dah banyak depan mata, kami jadi lupa diri. Duit itu kami habiskan untuk enjoy. Sedar-sedar, semua sudah habis. Kerja pun kena buang.” Moin menerangkan. Matanya melirik pada Junaidi yang kemurungan.

“Hendak menyesal pun sekarang sudah tidak berguna. Lebih baik fikirkan cara yang terbaik untuk selesaikan masalah.” Salleh bangun dan menuju ke arah baju yang bergantung. Beberapa ekor kelkatu yang hinggap ditepisnya. Baju yang sedia rapi di pandang lama.

“Cadangan Moin ada baiknya. Jangan kau ikutkan rasa hati. Kalau kau hendak melawan pun tidak ada gunanya. Yang salah tetap diri kau sendiri. Dengan membuat laporan dan mendapatkan bantuan dari pihak yang bertanggungjawab, perkara ini masih boleh diselesaikan.” Junaidi hanya mengangguk apabila Salleh menghampir dan mengusap lembut bahunya.

“Bila kau nak pergi temuduga?”  Junaidi cuba menghilangkan rasa resah yang menyesakkan dadanya dengan memikirkan perkara lain.
“23 Julai, di dewan sekolah Convent.” Salleh tersenyum.
“Aku harap kau berjaya. Aku doakan kau akan capai cita-cita kau untuk menjadi perajurit macam abah kau.” Moin menghulurkan tangan untuk mengucapkan selamat kepada Salleh.
“Terima kasih Moin. Kalau tidak kerana iklan di akhbar yang kau simpankan untuk aku, mungkin hati aku tak terbuka untuk berubah.” Salleh memeluk erat bahu Moin.
“Aku hanya buat apa yang sepatutnya seorang sahabat lakukan. Aku masih ingat Sabda Rasulullah; Adalah suatu khianat yang besar apabila engkau berbicara kepada saudaramu sesuatu perkara yang mana dia penuh percaya kepadamu, sedangkan engkau berdusta kepadanya.”

Suasana di Sekolah Convent kelihatan sesak dengan lautan manusia yang datang untuk menghadiri temuduga yang diadakan. Salleh hanya memerhatikan. Namun debaran dadanya tidak dapat disembunyikan. Dirasakan dirinya begitu kerdil berbanding dengan calon lain yang tegap dan sasa. Hatinya mula cuak. Bagaimana jika dia tidak diterima?  Bagaimana dia harus pulang dan berjumpa abah di kampung? Namun dia cuba membuang sejauh mungkin perasaan gementar yang mula menguasai dirinya.

“Mohd Salleh b.Mohd Baki.” Namanya dipanggil untuk diukur berat dan ketinggian, serta diperiksa matanya. Setelah kad yang dipegangnya ditulis sesuatu, dia diarahkan pergi ke sebuah bilik yang telah padat dengan penunggu lain. Salleh dapat mengagak, tentunya mereka dikelaskan mengikut kelayakan. Setelah peperiksaan bertulis di jalankan: hanya ada dua kemungkinan, samada dia tergolong dalam golongan yang diterima, ataupun dalam golongan yang tidak diterima.

 “Saya dapat merasakan apa yang anda rasakan sekarang. Kerana saya juga pernah melalui apa yang anda lalui saat ini.” Suasana sunyi. Hanya deras putaran kipas dan suara tegas pegawai yang  kedengaran.

“Saya ucapkan syabas kerana anda semua telah sampai ke tahap ini. Bukan semua yang hadir hari ini mampu sampai ditempat anda berdiri sekarang. Semangat dan jati diri yang  kuat adalah lambang seorang lelaki sejati.”

Salleh kian gusar. Dia tidak dapat menangkap maksud kata-kata pegawai yang berdiri segak di hadapannya. Hendak dikatakan berjaya, tidak. Gagal juga tidak.Salleh semakin tertekan dengan perasaannya.

“Baiklah, rasanya saya tidak perlu lagi untuk melengahkan waktu. Saya ucapkan tahniah kerana anda adalah antara yang terpilih untuk menjalani latihan dan ujian lanjut di Port Dickson.” Suasana menjadi hingar dengan ucapan kesyukuran. Mata Salleh bergenang. Dia mengucapkan syukur kepada Allah. Usahanya tidak sia-sia. Dia adalah manusia yang paling bahagia di atas muka bumi ini.

“Bertenang semua, segala keterangan dan kelengkapan yang diperlukan akan diterangkan sebentar nanti. Saya harap peluang keemasan ini akan anda gunakan dengan sebaiknya untuk membuktikan remaja Malaysia adalah remaja yang berwawasan dan mempunyai semangat juang yang tinggi.”

Tepukan gemuruh menyambut kata-kata perangsang yang menjadi bekalan buat mereka menghadapi cabaran yang lebih getir. Ini adalah pengakhiran dalam pencarian Salleh. Hanya satu ini matlamat dan tujuan hidupnya. Dan ini pastinya kebahagiaan yang paling bermakna buat abahnya.

Langkah Salleh Terhenti. Dia memandang lama rumah kayu yang pernah menjadi teduhan buatnya. Damai dan menenangkan. Kicauan burung bagai menyambut kepulangannya pada pagi yang penuh rahmat ini. Ada senyum yang terukir di bibirnya. Senyum kebahagiaan, senyum kepuasan. Pasti abah akan mengambil masa untuk mengenalinya.

Penampilannya  telah berbeza kini. Amat berbeza; Tiada seluar koyak rabak, tiada rambut panjang yang sering kusut, kasut berlubang dan gitar kapuk.
“Anak ni cari siapa?” Satu suara yang menyapa benar-benar mengejutkan dia. Salleh berpaling. Dia tersenyum. Kali ini lebih manis dan bersemangat.
“Abah dah tak kenal Salleh lagi ke? Ini Salleh anak abah.” Salleh meluru dan mendakap erat tubuh tua abahnya. Terasa semua rindu yang bersarang dalam jiwanya telah terbang jauh. Bagaikan dia tidak mahu lagi melepaskan tubuh yang amat disayanginya.

Kini dia akan menjalani hidup sebagai seorang pejuang. Dia akan berjuang hingga ketitisan darahnya yang terakhir. Dia akan membela nasib anak bangsanya. Dia akan menyambung usaha dan cita-cita abah. Dia berbangga untuk melaung pada dunia yang kini dia adalah seorang perajurit. Dan kisahnya tidak akan berakhir di sini. Dia akan memastikan yang bakal ada penyambung warisan keluarga ini untuk meneruskan harapan dan amanah bangsa.

Pencarian erti hidup Salleh telah terjawab. Dia telah menemui apa yang dicarinya selama ini.Ketenangan,kebahagiaan, dan erti sebuah pengorbanan. Moga usaha dan cita-citanya akan diredhai Allah S.W.T.Insyaallah.

No comments:

Post a Comment