Wednesday, April 3, 2013

Hikayat Cik Menti ; Lelaki dan si cumi-cumi


BULAN  mengambang penuh. Cahaya lampu neon malap menyuluhi lorong. Pengap dan kotor. Siang menjadi tempat jajaan makanan dan bila malam; menjadi lorong si cumi-cumi mencari pelanggan. Cik menti berkejaran pintas-memintas; sudah tiba musim mengawan mungkin. Kelihatan si cumi-cumi sedang bergembira di hujung lorong. Si Cumi yang dibawa pergi dengan pacuan empat roda (ada juga beroda dua)  melambai dengan gembira. Si Cumi yang masih menanti satria bangsat mencebik dan kecewa. Cumi-Cumi kembali duduk di lorong dan bercerita sesama sendiri; tentang pria tampan, tentang gossip artis di koran dan tentang hal-hal sezaman (lebih kepada hal berkaitan kaum adam yang tampan dan berbadan sasa).

Cik Menti masih berkejaran. Seolah tersesat mencari jalan pulang. Sesekali Cik Menti berhenti dan mengangkat kepala kecilnya; memerhati Si Cumi-Cumi yang bagaikan tidak menyedari dua malaikat sedang menulis di bahu mereka. Bangga dengan pemalsuan jiwa. Ghairah dengan tawanan nafsu jalang yang bergelora. Benar patah kata Jalaludin Rumi; Seperti manusia bodoh yang tidak dapat memahami maksud inab dan uzum; bukankah kedua-dua nya adalah anggur? Benang itu jika basah, mana mungkin mampu ditegakkan. Itu adalah impian Si Cumi-Cumi; Untuk membuktikan pada  dunia kewujudan mereka yang berlawanan dengan hukum cakerawala. Mahu seluruh isi alam memahami keinginan dan gejolak nurani yang kononnya suci.

Si Cumi masih berlegar di jalanan. Menunggu serigala gersang yang datang mencari ‘makan’. Menanti kehadiran pungguk hitam yang akan menjadi teman untuk berpacaran dan berpeleseran. Liuk lenggok bagai primadona; leher terlilit dengan bulu-bulu ayam berbagai warna. Sanggul di kepala lebih tinggi dari yang sepatutnya, ada yang berkebaya ketat, tetapi lebih ramai yang memakai celana atau gaun pendek berumbai-rumbai. Wajah ditempel seperti pemain opera layaknya. Terkadang ada pelanggan yang cuba bermain tarik tali dengan Si Cumi; berlalu bila Si Cumi menghampir. Si Cumi menceceh dengan runut bunyi yang entah apa-apa. Suara bagai Guntur; Hilang sudah semua kelembutan yang ironinya ada pada susuk seorang perawan sejati.

Suasana agak lengang. Cuma sesekali bunyi kenderaan; mungkin lori sayur atau ikan baru pulang dari pasar borong. Cumi-Cumi masih belum pulang. Menanti sang pria yang kononnya kesatria sakti yang datang bersama kuda hikmat. Untuk terbang ke awan; memadu kasih. Si Cumi lupa hak kepada Maha Pencipta; Amal maa’ruf nahi mungkar. Nikmat sementara yang membuat Si Cumi lalai dengan hak pada Rasulullah; berpegang pada syariat dan  Sunah. Si Cumi lupa, andai sangkakala bertiup, hancur lebur lah semua isi bumi. Si Cumi masih mahu berteduh di bawah daun nan sehelai. Hidup dalam dongeng yang takkan mungkin menjadi hakikat. Kalimah kata Benjamin Franklin perlu di guna pakai; Jika manusia masih tetap jahat dengan adanya agama, bagaimana lagi jika tiada agama? ‘Argh! Persetankan itu semua; bentak Si Cumi.’ Dunia ini sementara, jadi Cumi mahu hidup semahunya.

Cik Menti masih berlari. Kali ini Cik Menti berhenti di tepi longkang; memerhati lelaki separuh umur berkumis lebat menolak roda tiga; seperti gerai jualan. Si Cumi-Cumi terkedek-kedek menghampiri. Berselera Si Cumi-Cumi menikmati daging dan isi ikan yang dicucuk; menyerupai sate. Bezanya sate yang ini perlu direndam ke dalam periuk kecil yang menggelegak panas. Cik Menti meneguk liur. Cik Menti mendekati dan berselindung di balik roda.

Cik Menti memasang telinga. Lagak seperti pejuang menunggu arahan dari komander perang. Mata Cik Menti berkelip-kelip. Mulutnya sedikit terbuka. Hidungnya yang kecil bergerak-gerak. “Di sebelah lorong sana, sunyi. Tak ramai Cumi yang berdagangan. Mungkin kerana lewat kelmarin ramai yang sudah di angkut.” Lelaki berkumis menyedut dalam kretek yang tinggal separuh. Cumi-Cumi tekun mendengar. Cik Menti tumpang menadah telinga. Saki baki makanan di buang di tepi jalan menjadi rezeki buat Cik Menti. Cik Menti meneguk liur untuk kali yang entah ke berapa.

“Kami ini bintang malam. Mungkin kehadiran kami tak di sukai. Tapi kami tidak menggagau kain orang lain. Cukup kami diterima masyarakat. Kami tak mau dipandang jijik.” Cumi montel bersuara. Cumi yang lain mengangguk tanda menyokong. “Hmm… aku bukan warak beragama, jauh sekali menyamai nabi. Mukjizat juga aku tak punya. Tapi engkau dan aku berteduh di bawah lembayung mazhab yang sama, ada rasa tanggungjawab yang perlu aku galas.” Lelaki berkumis terbatuk-batuk seketika. Cik Menti mengonggong cebisan makanan yang di buang. Mata Cik Menti tiba-tiba berkelemayar. Mungkin tertitis kuah pedas yang bergayutan dari botol yang bergantungan  di tepi roda tiga. Cik Menti berpusing-pusing seketika. Bila mendengar lelaki berkumis mula berbicara, Cik Menti menahan pedih mata yang kian menusuk. Cik Menti mengenyeh matanya. Namun telinganya tegak mendengar bicara.

“Aku punya seorang adik lelaki, pada dasarnya. Namun jiwanya memberontak; seperti kamu. Bezanya dia khunsa.” Lelaki berkumis terhenti kata. Jalaran kereta mewah berwarna keemasan menganggu tumpuannya. Cumi yang entah dari mana keluar dan melambai ke arah kereta mewah. Cumi menghampir dan memilih cucuk-cucuk dan merendam ke dalam bekas keluli yang menggelegak. “Lapar.” Ucapnya sepatah. Indera bau tercerna dengan rendaman cucuk-cucuk. Selera Cik Menti terbuka luas. Kunyahan segera di hadam. Menanti saki baki yang akan menjadi rezeki malamnya. Cik Menti mendengar lagi lelaki berkumis bercerita. “Ibu dan bapaku mahu dia menjadi lelaki sejati. Namun jiwanya memberontak. Dia juga berdagangan seperti kamu. Hingga satu masa dia tidak pulang untuk beberapa hari. Aku dan keluarga mencari di mana-mana. Mantan pacarnya juga tidak tahu dia di mana.” Lelaki kumis berdehem.

“Kemudian dia pulang. Keadaannya tidak terurus. Seperti hilang kewarasan. Hanya sepurnama berlalu, dia mula berkata-kata.” Lelaki berkumis memandang ke arah cumi-cumi yang setia mendengar hikayatnya. “Dia menangis. Katanya dia mati hidup semula. Aku ketawa. Ku fikir adikku mabuk ganja.” Si cumi-cumi juga ketawa. Lelaki berkumis tersenyum. Dia menyambung kata. “Di lorong seperti inilah, adikku berdagangan. Dan di lorong seperti inilah, adikku diberi pengajaran.” Lelaki berkumis termenung jauh. “Apa maksud kamu dengan diberi pengajaran?” Si Cumi montel tidak sabar menanti. Lelaki berkumis tersenyum. “Dia terkena sumpahan Si Cumi tua.” Cumi-Cumi lain hanya ketawa. “Macam filem di bioskop.” Ujar Cumi yang baru turun dari kereta mewah.

“Benar.” Lelaki berkumis mengiyakan. “Cuma bezanya layar yang dibentang bukan layar kaku seperti di bioskop. Ianya layar kehidupan yang hakiki.” Lelaki berkumis bersuara sedikit keras. “Teruskan… aku tidak sabar menanti kisah yang engkau hikayatkan.” Cumi yang berwajah suram bersuara. Lagak seperti tidak sabar mendengar adegan seterusnya.

“Di lorong seperti ini adikku di beri pengajaran; dia didatangkan dengan jelmaan yang berbagai rupa. Adikku telah jauh dari landasan agama. Dia hidup dalam kejalangan yang diciptanya sendiri.” Lelaki berkumis meneguk air dari botol berwarna putih. Cik Menti tersandar kekenyangan. Baginya semua kejalangan adalah kerana kealpaan manusia sendiri. Menyimpang seinci, rugi seribu batu; Cik Menti menyalin kata salah seorang khalifah yang pernah lalu di lorongnya. Khalifah tersebut mendengarkan pepatah cina untuk temannya. Cik Menti hanya menumpang telinga; tidak ada ruginya.
“Adikku di datangi manusia yang berkepala babi; ini kerana manusia tersebut tidak mendirikan solat. Lalai dengan waktu yang diberi Tuhan.” Serius suara lelaki berkumis.

“Argh, mungkin saja adikmu bermimpi.” Cumi yang sedikit kurus bersuara lantang. Lelaki berkumis tersenyum. “Tidak. Aku yakin adikku bukan hanya omong kosong. Aku kenal dia luar dan dalam.” Penuh yakin lelaki berkumis berbicara. Cumi mendiamkan diri. “kemudian adikku didatangkan manusia yang berbau bangkai; ini kerana dia menyembunyikan kejahatannya dari manusia lain. Berselindung di sebalik topeng kepuraan.” Lelaki berkumis memandang ke langit. Dia mengeluh. “Aku berdagang dari lorong ke lorong hanya untuk menyampaikan ini pada Cumi-Cumi seperti kamu. Aku tau, tiap dari kamu punya sejarah hitam masing-masing. Aku tidak membenci, tetapi aku juga tidak mahu bersubahat.”

Cik Menti masih tersandar di roda. Beberapa teman nya berlarian di balik gobok usang yang tersandar di dinding lorong. Cik Menti mendesis. Sedikit terganggu dengan bunyi teman-teman nya.  “Adikku juga seperti kamu; menyundal untuk mencari nikmat dan ongkos buat menampung hidup. Tapi peristiwa malam tersebut telah mengubahnya; menjadi lelaki sebenar.”

“Kami takkan berubah semudah itu.” Dengan yakin Cumi gempal bersuara. “Aku tau…” Lemah intonasi suara lelaki berkumis.  “Manusia yang penuh dengan sopak muncul di hadapan adikku; kerana dosanya derhaka pada kedua orang tuanya. Kamu semua tau apa yang ditanggung oleh mereka yang melahirkan dan membesarkan kamu jika mereka tau kamu begini? Pedih. Derita. Kecewa.” Lelaki berkumis mengalirkan air mata. Cik Menti makin menghampir. Cik Menti menahan sebak. Dada kecilnya turun naik menahan tangis.

Cik Menti berpegang dengan patah kata Confucius; seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya, telah melakukan satu kesalahan lagi. Sudah jauh Cik Menti mengembara. Ini bukan lorong pertama yang menjadi latar hidupnya. Tiap derita dan bahagia dari makhluk yang bernama manusia pernah di tontonnya. Dari serakah manusia yang terlanjur, makhluk comel yang dibuang ke tempat tinggalnya; hasil kedurjanaan manusia, perjudian nasib dan  kehidupan dan hinggalah kekhilafan makhluk yang kononnya adalah khalifah di bumi fana ini menjadi tontonan dia bersama kerabatnya.

“Makhluk apa lagi yang mendatangi adikmu? Pari-pari dari langit mungkin?” Cumi gempal mengejek. Lelaki berkumis memandang tajam. “Hidup biar beradap, bukan hidup untuk biadap. Itu bukan ayat dari kocekku. Tapi pesanan dari Al-Ghazali Bayruni.” Keras suara lelaki berkumis. Cumi gempal mencebik. Namun dia masih tidak berganjak. Lelaki berkumis mengurut dagunya. “Jangan bercakap macam tak  beragama.” Lelaki berkumis mengingatkan. Dia kemudian menyambung kata.

“Adikku kemudian didatangkan dengan manusia yang berlidah panjang, bergigi seperti tanduk lembu. Kau tau kenapa?” Lelaki berkumis menyoal Cumi gempal. Si Cumi gempal mengangkat bahu tanda tidak mengerti. “Kerana sepanjang hayatnya, air setan menjadi hidangan wajib baginya. Kau tau apa itu air setan?”  Lelaki berkumis menyoal Cumi kurus yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. Cumi kurus hanya mengangguk.

“Bagus.” Lelaki berkumis menjawab sepatah.  Cik Menti tersenyum. Dia juga pernah khayal kerana terminum air setan dari botol yang dibuang berhampiran rumahnya. Berpinar dan berkelemayar dunianya seketika. Bintang-bintang kecil mula terbit; walaupun hakikatnya mentari terik memancar sinar. Sekonyong-konyong dunianya terasa gelap. Dia tersenyum dan ketawa sebebas nya. Cik Menti mencepakkan mulutnya. Seolah masih terasa bauran kemasaman buih kekuningan yang memenuhi medulla oblongata nya. Lelaki berkumis mula bersuara. Cik Menti memasang telinga.

“Sewaktu pulang, wajah adikku hitam; seperti dibakar terik mentari yang teramat panas. Walhal adikku tidak akan keluar selagi mentari masih tersenyum. Hanya bila bulan menampakkan diri, baru adikku keluar menerjah alam.” Lelaki berkumis menggaru kepalanya; rambutnya tebal berombak, wajahnya sentiasa tegang, matanya sedikit sepet, dan bibirnya hitam dan sedikit kering. “Adikku mahu aku menyampaikan kisah ini pada golongan Cumi seperti kamu. Dia berubah ke jalan takwa kerana dia telah melihat azab yang bakal diterima.” Lelaki berkumis sedikit emosi. Dia mengesat matanya dengan lengan baju kemeja berpetak biru.

“Baguslah kalau dia sudah insaf dan berubah. Tapi masa kami belum tiba. Untuk apa kami berpura sedangkan jiwa kami sebenarnya menginginkan sesuatu yang lain?” Cumi gempal petah berbicara. Lelaki berkumis menggelengkan kepala. Begitu juga dengan Cik Menti. Kiamat itu makin hampir. Cuma waktunya saja yang belum tertulis. Selagi bumi masih di paksi, mengapa tidak manusia berlumba mencari keberkatan? Mengapa lorong hitam juga yang menjadi pilihan? Bagai langau yang menghurung bangkai. Sedangkan pada waktu yang sama si rama-rama enak menghirup manisnya madu. Mengapa manusia yang ironinya diberikan akal untuk berfikir tetapi tidak menggunakannya ke arah kebaikan? Apakah mereka tidak tahu di akhirat nanti tidak seorang pun dibenarkan bergerak melainkan disoal tentang empat perkara; Umurnya: bagaimana dia menghabiskannya, Ilmunya: bagaimana dia menggunakannya, Hartanya: bagaimana dia memperolehi dan membelanjakannya, Tubuhnya: bagaimana dia menggunakannya. Cik Menti memandang ke arah Si Cumi-Cumi; entah bagaimana agaknya nasib mereka di sana nanti. Cik Menti mengeluh berat. Seolah segala beban terhempap ke atas kepalanya. Sedangkan dia hanya makhluk kecil yang menjadi pemerhati; sementara nyawanya masih bernadi.

“Aku tau aku bukan manusia yang paling layak untuk memberi sabda kepada kamu. Ilmuku hanya setitis dari lautan.” Lelaki berkumis memeluk tubuh.  “Jadi mengapa kamu seolah berceramah pada kami? Sedangkan kau sendiri masih mencari jalan pulang!” Cumi gempal bersuara mengejek. Lelaki berkumis ketawa. Berlanjut-lanjut; hingga badannya terhinggut-hinggut. Cik Menti mengintai wajah lelaki berkumis. Agak hairan dengan karekter yang berubah tiba-tiba; tadinya dia agak serius. Lelaki berkumis kemudian tersenyum.
“Kamu tau apa beza antara manusia yang berilmu dengan manusia yang cetek ilmunya?” Lelaki  berkumis mencuit Cumi kurus. Cumi kurus menggelengkan kepala. “Seseorang itu dapat menerima teguran dan kritikan dengan mudah jika dia berilmu. Namun jika tidak, dia seperti teman kamu.” Mata lelaki berkumis menjeling sinis pada Si Cumi gempal. Cik Menti tersenyum.

“Aku sudah kesiangan. Aku perlu pulang. Ingat pesanku; Niat tidak menghalalkan cara. Walau apa juga alasannya, kau tidak punya hak untuk mengubah ciptaan Tuhan.” Lelaki berkumis mula menolak kereta tolaknya. Si Cumi hanya memandang kosong. Cik Menti menggosok matanya. Satu lagi kisah untuk diceritakan pada teman-teman yang menanti sebuah lagi hikayatnya.

No comments:

Post a Comment